Home » Aksi Warm-up, Bintang Euro, France » Gol Benzema buat Perancis ceria

Perancis 4-0 Estonia

PERANCIS mengucapkan terima kasih kepada pemain Real Madrid, Karim Benzema yang mempamerkan aksi mengagumkan menjelang Euro 2012 selepas menewaskan Estonia 4-0 sekali gus memberi tekanan kepada seteru utama Kumpulan D, England.

Pemain Bayern Munich, Franck Ribery membuka tirai jaringan pada perlawanan di bandar utara Le Mans pada minit ke-24 sebelum Benzema menjadikan kedudukan 2-0 lapan minit sebelum rehat yang menyaksikan Perancis mula menemui rentak.

Benzema menambah jaringan dua minit selepas babak kedua bermula sebelum penyerang Paris Saint Germain, Jeremy Menez melengkapkan kemenangan Perancis pada masa kecederaan.

Namun daripada sudut negatif, skuad kendalian Laurent Blanc sedikit lemah di bahagian pertahanan tengah membabitkan kerjasama antara pemain AC Milan, Philippe Mexes dan Valencia, Adil Rami yang dilihat gementar beberapa ketika dan Blanc perlu menurunkan beberapa petua di bahagian pertahanan mereka.

Jurulatih itu berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati.

“Ia adalah kemenangan ketiga dalam tiga perlawanan jadi kami mampu berpuas hati. Biarpun ada kekurangan di beberapa bahagian tapi secara keseluruhan ia satu hari yang baik,” kata Blanc yang mengatakan “ada ketikanya kami meletakkan diri dalam kesukaran’ di bahagian pertahanan.

Beliau meramalkan pertemuan menentang England “akan menjadi lebih sukar dengan lebih banyak ujian akan dihadapi dan kami perlu bermain dengan cara mudah.”

Pemain Newcastle, Yohan Cabaye memainkan peranan di bahagian tengah untuk membantu Ribery menjaringkan gol ketiganya dalam tiga perlawanan hasil bantuan Benzema.

Menez menjaringkan gol di minit terakhir selepas dimasukkan sebagai pemain gantian menggantikan Benzema di samping Olivier Giroud yang menggantikan Florent Malouda.

Perancis kini melebarkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah dan kenangan buruk yang dialami pada Piala Dunia 2010 semakin dilupakan.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter