Home » Czech Republic, Russia, Top News » Russia garang belasah Republik Czech

RUSIA menghantar mesej bahawa kehadiran mereka pada kali ini wajar dipandang serius dengan menjadikan Republik Czech sebagai mangsa belasahan.

Dalam aksi kumpulan A di Wroclaw awal pagi tadi, Rusia mengatasi Republik Czech 4-1 dengan menjaringkan dua gol pada babak pertama.

Rusia, yang melangkah ke separuh akhir empat tahun lalu, menjaringkan dua lagi gol – dalam tempoh tiga minit di akhir babak kedua iaitu minit ke-79 dan 82 untuk kesudahan ‘pesta gol’ pada hari pembukaan perlawanan.kejohanan kali ini.

Anak-anak buah Dick Advocaat itu nyata tidak berdepan halangan besar untuk mencatatkan kemenangan besar ke atas finalis 1996 itu menerusi persembahan meyakinkan.

Pada separuh masa pertama, mereka sudah mendahului 2-0 menerusi gol sumbangan Alan Dzagoev dan Roman Shirokov walaupun pada awal permainan Republik Czech lebih menyerlah dengan beberapa gerakan untuk menguji kubu lawan.

Tetapi Rusia bijak menghukum pasukan yang diketuai Tomas Rosicky itu dengan serangan balas.

Pada minit ke-9, tandukan Aleksandr Kerzhakov pada mulanya terkena palang gol tetapi peluang itu dihidu Dzagoev yang melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol, Petr Cech.

Sembilan minit kemudian, Cech sekali lagi tertewas apabila kawalan longgar pertahanan gagal membaca lorongan Andrey Arshavin untuk disudahkan Shirokov.

Vaclav Pilar cuba merapatkan kedudukan sekaligus menyentak sikap sambil lewa Rusia.

Kerzhakov yang terlepas banyak peluang untuk mengukuhkan kedudukan Rusia digantikan dengan Roman Pavlyuchenko.

Penyerang Tottenham Hotspur itu tidak mengambil masa yang lama untuk memikat para penyokong dengan mencipta gerakan bagi gol ketiga yang disumbat Dzagoev.

Pada minit ke-82, Pavlyuchenko mencalarkan lagi maruah Republik Czech dengan gol keempat hasil daripada gerakan solonya.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter